Pengikut D.A.U

Sudut Informasi


Sudut Informasi

HENTIAN PUDURAYA WAJAH BARU


Kembali beroperasi mulai hari Sabtu 16 April 2010 setelah ditutup lebih setahun, selepas selesainya proses pemodenan dan pengubah suaian terminal pengangkutan bersepadu itu yang melibatkan kos sebanyak RM52 juta.


Serentak dengan itu, terminal bas sementara Bukit Jalil akan ditutup.


Hentian Puduraya akan menjadi hab perjalanan ke sebelah utara Semenanjung Malaysia, Seremban dan beberapa kawasan terdekat menerusi sistem bas antara bandar selain Hentian Putra untuk destinasi Pantai Timur dan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) untuk arah selatan.


Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, selain pengubah suaian yang bertujuan menambah keselesaan kepada orang ramai, pemodenan Hentian Puduraya turut melibatkan penambahan lebih banyak gerai, restoran, mesin ATM dan tempat beribadat.


“Setelah diubah suai, surau Hentian Puduraya yang berhawa dingin dan lebih luas mampu menampung sehingga 400 jemaah,” katanya.


Pada bulan April 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninjau Hentian Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu-lintas dan melahirkan rasa kurang senang dengan kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam.


Dalam tinjauan selama sejam bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin itu, Najib berpakaian kasual berkemeja warna perang dan seluar berwarna kuning air sempat menghilang dahaga di salah sebuah gerai di hentian tersebut.


Hentian Puduraya telah dibuka pada tahun 1976 ketika era Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn yang bukan sahaja menjadi pintu masuk utama ke Kuala Lumpur malah turut menyediakan tempat berniaga kepada puluhan peniaga tempatan.


Mengulas lanjut, Jaafar berkata, hentian yang turut menyediakan Hotel Angkasa kepada pengunjungnya mampu melayan sehingga 500 buah bas dan sekitar 40,000 pelawat pada setiap hari.


“Kami yakin pengunjung Hentian Puduraya akan lebih selesa selepas ini dengan semua perkhidmatan jualan tiket, tempat menunggu, medan selera, kawasan merokok dan tempat sembahyang yang disediakan untuk pelawat yang beragama Islam,” katanya lagi.

TERMINAL BERSEPADU SELATAN (TBS)

Projek Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan bernilai RM570 juta, dijangka bukan saja berupaya mengurangkan kesesakan di ibu kota berikutan lokasi strategik dan luas serta dapat menampung perkhidmatan bas ekspres yang bertambah.

Terminal ini dijangka mengurangkan kesesakan di ibu kota dengan lokasi dan kemudahan lebih luas bagi menampung perkhidmatan bas dan teksi antara bandar sektor selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura.

Terminal yang dikenali sebagai ITT Bandar Tasik Selatan bakal mempunyai terminal berkeluasan 95,000 meter persegi selain memuatkan sehingga 150 ruang teksi, 60 platform bas dan 1,000 tempat letak kereta.

Terminal berkenaan boleh dihubungi menerusi dua lebuh raya utama iaitu Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Besraya disamping digabungkan perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Komuter KTM dan Express Rail Link (ERL) yang mempunyai stesen dalam lingkungan radius 200 meter.

Masih ada ruang untuk penambahbaikan yang boleh diberi perhatian, terutama keselamatan dan keselesaan pengguna seperti kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU).

Peruntukan RM15 juta itu membolehkan stesen komuter KTM dilengkapi lif, ramp dan tandas OKU bagi membolehkan golongan berkenaan tidak menghadapi kesukaran ketika menggunakan perkhidmatan Komuter KTM untuk laluan masing-masing.

Antara kemudahan yang disediakan:
a) Surau
b) Mesin ATM
c) VIP Lounges
d) Kawasan merokok
e) Trolley
f) Kemudahan OKU
g) Food court
h) Money changer
i) Farmasi & klinik
j) Bilik rehat